Bismillah wa salam..
Semakin hari usia semakin bertambah. Pelbagai perkara dan pengalaman dialami dalam hidup. Makin mendewasakankah? Tidak mahu berpura-pura seperti masih muda, saya akui fizikal yang dulu sihat dan segar, buatlah apa sahaja tidak pernah bimbang akan tumbang kini semakin memerlukan perhatian. Emosi yang dulu mungkin kurang sensitif, kini semakin sensitif. Melihat Emak dan Ayah yang semakin meniti usia tua sentiasa membuatkan saya terfikir adakah saya dapat menjadi seperti mereka? Adakah Allah akan kurniakan usia emas saya seperti itu? Dapat melihat cucu-cucu bermain walaupun semakin hari kudrat semakin berkurang? Semoga usia yang tinggal ini akan memberi manfaat pada diri dan orang lain.. wallahua'lam. Semua di dalam pengetahuan-Nya jua.
Perkara yang lebih jelas (mungkin juga kerana otak yang terlalu diperah dalam tempoh PhD), ingatan saya mengenai masa lalu semakin pudar. Ada kenangan-kenangan zaman kecil yang saya sedar tidak lagi berada di fikiran. Saya lupa kawan-kawan yang pernah sekelas dengan saya. Bila melihat album lama, ada yang saya tidak mampu meluahkan namanya. Begitu juga rakan-rakan yang pernah bersama seasrama di sekolah menengah, di UTM.. Saya percaya, beberapa tahun lalu saya masih mampu menyebut sekurang-kurangnya nama panggilan tetapi kini walau dengan melihat gambar di facebook puas saya berfikir sama ada saya kenal dengan mereka ini di mana. Ha.. ha.. Tetapi itu adalah normal agaknya. Cuma saya kagum dengan rakan-rakan yang masih mengingati detail kenangan-kenangan dulu-dulu.. saya ini bilik mana saya duduk pun saya ambil masa untuk fikir. Semua ini saya sedar bila ada reunion rakan sekolah nanti. Bila dikumpulkan semula dalam satu group facebook betapa ramai yang saya tidak lagi ingat bukan kerana perubahan fizikal masing-masing tetapi memang saya lupa. Sebab itu saya tidak perlu berkecil hati jika ada yang lupa dan tidak kenal saya.. Kita manusia biasa, ada yang Allah kurniakan daya ingatan yang kuat, ada yang kurang.
Kisah-kisah masa kecil juga yang signifikan dalam hidup ini nampaknya makin terhapus. Saya mula lupa rasa titisan hujan yang membawa kenangan hari pertama masuk darjah 1. Dulu-dulu, jika ada hujan dan suasana sebegitu, saya akan terus terbayang saat darjah 1 tetapi tidak lagi kini. Puas saya mencari 'rasa' yang hilang atau mungkin hujan dan kesejukan yang sama sudah tidak ada?
Saya juga lupa rasa 'teruja' mengenang sekolah saya semasa tingkatan 1 hingga 3. 21 tahun saya tidak pernah lagi menjenguk sekolah yang banyak mengajar erti kedewasaan, mengajar berdikari seawal usia 13 tahun.. tetapi bila berpeluang melewati sekolah yang saya sayangi ini tiada rasa terharu. Begitu juga apabila ayah membawa saya melihat sekolah saya semasa tingkatan 4 dan 5. Saya seperti tiada apa-apa perasaan.. Kenangan masih kenangan cuma keterjuaan semakin berkurangan.. Atau hati saya sudah semakin 'cool'? Hehehehhe..
Manusia, tiada yang kekal padanya.. :)
No comments:
Post a Comment