Pages

07 March 2009

Hujan

Bismillah..

Sedang hujan pagi ini. Suasana yang sangat mendamaikan apatah lagi bumi kini sudah jarang-jarang sekali disimbahi air dari langit ini. Bagi saya, hujan membawa seribu rahmat, seribu berkat dan doa ketika hujan lebat adalah mustajab.

Saya masih tidak lupa semasa di alam sekolah rendah. Waktu hujan memang kami tunggu-tunggu. Tambah-tambah jika bukan hari sekolah. Waktu itu, kami sekeluarga akan pulang ke rumah Tok dan Wan sebelah emak. Jarak rumah mereka tidak jauh, cuma dalam 5-10 minit menaiki kereta. Saudara-mara sebelah menyebelah rumah sahaja. Memang ramai sangat yang sebaya dan menjadi teman bermain. Kami selalu menunggu hujan berhenti dengan perasaan tidak sabar. Bukan apa, selepas hujan parit kecil di sebelah rumah Tok akan digenangi air dan lembab-lembab. Parit besar di depan pula airnya akan naik tinggi. Mulanya kami akan memasang pancing di bahagian parit besar. Tidak dapat ikan keli, ikan puyu pun bolehlah.. untung-untung lekat ikan haruan. Selepas itu beramai-ramai pula ke parit kecil untuk menangkap siput gondang. Seronok sungguh!

Siput gondang

Sehingga tengahhari kami mengerjakan parit Tok. Ikan dulu-dulu memang banyak. Ikan sepat lagi banyak tetapi tidak makan pancing. Jika mahu ikan sepat, kami tangguk sahaja. Biasanya ikan puyu paling banyak dapat. Ada yang kami bela, ada yang besar-besar Tok akan ambil dan siang kemudian goreng untuk makan tengahhari. Ikan keli memang akan kami makan. Dulu-dulu umpannya hanya cacing tanah, tetapi agaknya zaman budak-budak.. tak kisahlah ikan tu makan cacing ke apa.. bila dah digoreng sedap saja! Siput gondang pula memang banyak. Kutip-kutip dan isi dalam tin. Kemudian bagi pada Tok. Tok kadang-kadang masak.. kadang-kadang entah ke mana siput tu. Kalau bagi pada Mak.. siaplah kena marah. Mak saya nama sahaja orang kampung, tetapi banyak benda yang Mak geli. Saya pun tak ingat siput gondang ni Tok masak apa. Entah boleh makan ke tidak. Saya pernah tanya Mak, Mak kata boleh tapi kena ada caranya supaya tidak sakit perut. Rasa-rasanya jika bagi saya sekarang, saya akan makan ke?

Seronok bila mengenang nostalgia kecil-kecil dulu. Sekarang parit kecil masih ada tetapi penuh semak samun. Parit besar juga penuh pokok. Entah ikan pun segan nak hidup. Tok masih ada, sudah uzur. Wan, tahun lepas kembali ke rahmatullah. Memang saya rindu zaman kanak-kanak. Membesar di kampung, banyak sungguh kenangan. Melihat gaya hidup anak-anak saya entah apa yang seronoknya. Untungnya saya tinggal di kawasan kampung, juga ada parit yang saaaangatttt besar di depan kawasan perumahan ini. Itupun saya tak pasti sama ada akan lepaskan anak-anak bermain sebab sini kawasan laluan lori besar-besar. Zaman sudah berubah rupanya..

2 comments:

Ms.Lilies said...

zaman kita dulu adventure kan...pusing keliling kg pun mak bapak tak risau anak hilang...zaman skrg ni byk tak blh buat dah kan..takut anak hilang

senorita_2012 said...

Ye lah Mimi. Kadang tu kesian tengok.. asyik main dalam pagar je. Tapi nak lepaskan takut betul..