Bismillah wa salam...
Pernah saya hadiri satu mini seminar, mengenai isteri bekerja. Saya lupa tajuk penuhnya, juga buku nota agak jauh untuk dicapai. Penceramahnya adalah ustazah yang agak terkenal di tv. Asal seminar adalah bagaimana teknik atau cara untuk seimbangkan pekerjaan dan rumahtangga.
Apa yang melekat di minda saya, ustazah menyatakan satu perkara yang menjadi pegangan saya selama ini tetapi dalam versi yang lebih upgrade. Awal seminar kami ditanya satu soalan, APA MATLAMAT HIDUP KITA? Jika ada yang membaca, jawablah jika sudi. Mahu jadi apa? Mahu jadi buaya? (selingan hahaha).
Sesungguhnya MATLAMAT HIDUP KITA ADALAH AKHIRAT. Itulah destinasi kita. Bagaimana kita mahu pengakhiran kita di sana? Baikkah? Burukkah? Tentu dan pasti kita mahu kehidupan yang baik di sana. Ustazah menyatakan jika kita ingat matlamat kita, semua rasa kasih pada dunia ini tiada, hati kita juga insyaAllah hilang rasa gundah gulana tidak dapat mencapai nikmat dunia dan untuk menjadi isteri yang taat dalam masa yang sama pekerja yang baik, sentiasa ingat MATLAMAT kita.
Ini versi upgrade dari apa yang saya amalkan selama ini.
Dulu di tahun 1 pengajian UTM, saya mengikuti satu kem. Di sana, kami ditanya satu soalan, UNTUK APA KITA BELAJAR? Pada waktu itu pelbagai jawapan yang kami beri, mahu gembirakan ibu bapa, mahu bantu ibu bapa bila sudah bekerja (dengan pekerjaan yang baik) dan macam-macam lagi. Tetapi jawapan yang kakak fasi bagi saya ingat hingga kini. KITA BELAJAR KERANA ALLAH. APA YANG KITA BUAT NIATKAN KERANA ALLAH. InsyaAllah semuanya dipermudahkan. Dan ia memang benar.
Namun, dalam zaman serba mencabar ini, sudah tentu adakala kita tersasar dari NIAT dan MATLAMAT asal. Maka, ada ketikanya Allah bagi hint supaya kita kembali semula kepadaNya. Saya terutamanya bukanlah manusia yang baik. Saya anak yang degil, isteri yang susah nak dengar kata, ibu yang garang dan tidak pandai menjadi rakan yang baik serta pekerja dan pelajar yang tidaklah rajin mana. Bagaimana pula saya mahu menjadi hambaNya yang taat?
Jadi saya amat berterima kasih kepada insan yang menyentuh hati saya dengan 2 perkara ini. Bila hati saya serabut dengan pelbagai perkara yang dirisaukan, bila otak buntu, bila persekitaran sama ada manusia atau suasana tidak membantu malah menambah lagi masalah, saya suka kembali kepada 2 perkara ini. Percayalah pada Allah yang empunya diri kita ini. Sesungguhnya semuanya adalah kehendakNya.
Kita selalu lupa, Allah sudah janjikan rezeki kita, tetapi Allah tidak janjikan syurga buat kita. Kita bersusah payah hidup di dunia mengejar perkara yang telah Allah jamin dan lupa bahawa penamatnya belum pasti. Sedih. Jika kita terjebak dalam kesukaran ini, janganlah biar anak-anak dan keturunan kita melaluinya lagi.. :)
Selamat menyambut Ramadhan. Semoga hari-hari mendatang lebih baik lagi buat diri kita semua.
3 comments:
assalamualaikum kak banun
selamat berpuasa !
Selamat berpuasa Ziha! Moga tenang dan gembira selalu..
In Shaa Allah. Terima kasih :)
Post a Comment